Persidangan OKU Mahu Akta OKU Berkuasa. Golongan kurang upaya (OKU) mengharapkan sistem perundangan yang lebih mantap bagi membela nasib dan hak golongan berkenaan. Peguambela dan peguamcara cacat penglihatan, Mohammad Faizal Che
Yusof berkata, pindaan juga wajar dilakukan pada Perlembagaan supaya
golongan OKU di negara ini tidak didiskriminasi.
“Kita sudah ada Akta OKU tetapi pelaksanaanya belum menyeluruh,”
katanya pada Persidangan Orang Kurang Upaya (OKU) Darul Naim Peringkat
Kebangsaan di Hotel Raudah, Kota Bharu pada 13 Mac 2012.
Aktivis OKU itu juga menekankan mengenai perlunya pendaftaran wajib bagi anak-anak yang dilahirkan cacat.
“Proses pengesanan awal OKU perlu dibuat secara lebih berhemah supaya dapat dikesan seawal mungkin.
“Untuk itu, perlu ada doktor pakar ditempatkan di pusat-pusat
perubatan seluruh negara,” katanya pada persidangan yang dihadiri OKU
dan kelompok prihatin OKU.
Menurut Mohammad Faizal, hasil persidangan ini, suatu memorandum akan
diserahkan melalui Majlis Peguam kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
(Suhakam) pada Sabtu ini.
Soal kemahiran hidup dalam kalangan OKU turut dibincangkan oleh pembentang dan peserta.
“Pihak berkuasa perlu memberi kemahiran yang cukup kepada golongan
cacat supaya mereka dapat hidup dengan selesa dalam masyarakat.
“Daripada sekitar 1.4 juta kakitangan awam, hanya sekitar 1,500 atau
0.1 peratus adalah OKU, sedangkan dasar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
meletakkan sasaran minimum 1 peratus OKU,” katanya.
Menurutnya, Akta OKU pula umpama harimau yang tidak bertaring kerana
walaupun kelihatan dan kedengaran gah, tiada apa-apa kesan sebenar yang
nyata dalam membela golongan OKU
No comments:
Post a Comment